Presiden dan Menteri Luar Iran meninggal dunia dalam nahas helikopter
TEHRAN – Presiden Iran, Ebrahim Raisi dilapor meninggal dunia dalam nahas helikopter yang berlaku semalam.
Menurut laporan Reuters yang memetik jurucakap kerajaan, helikopter tersebut telah terbakar sepenuhnya.
Turut terkorban, Menteri Luar Iran Hossein Amir Abdollahian.
Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang di dalam helikopter semua itu telah terkorban.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini mengesahkan telah tiba di tapak nahas susulan dron milik Turki mengesan satu kawasan di Wilayah Azerbaijan Timur yang mengeluarkan haba.
Sejurus itu 73 pasukan termasuk unit anjing pengesan dikerah ke kawasan terbabit namun cuaca buruk menyukarkan pasukan penyelamat melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.
Semalam, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.
Nahas itu berlaku di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Penduduk tempatan dilaporkan mendengar ‘bunyi kuat’ di wilayah berkenaan tidak lama selepas itu.