Jenayah & Mahkamah

Serbu rumah transit, 20 migran cuba seludup masuk berjaya ditahan

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa berjaya mematahkan cubaan penyeludupan migran menerusi jalan laut selepas serbuan ke atas sebuah rumah dipercayai dijadikan tempat transit di Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Dalam serbuan oleh anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu, seramai 20 migran warga Indonesia berjaya ditahan.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak seminggu lalu.

“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.

“Lapan lagi warga Indonesia termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 42 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, 11 lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Soffian berkata, fokus operasi itu adalah mengenal migran yang memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan iaitu menerusi jalan laut.

“Siasatan awal dilakukan mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat transit atau rumah penampungan migran, yang keluar dan masuk ke Malaysia melalui jalan laut secara haram,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button