Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Mayat pemancing hilang di Tasik Pedu ditemui selepas 4 hari

ALOR SETAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan ke atas seorang pemancing yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu di Empangan Tasik Pedu, Kuala Nerang dekat sini berakhir apabila mangsa berjaya ditemui.

Mangsa, Ooi Swee Hin, 41, ditemui terapung di permukaan tasik oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kedah pada pukul 8.15 pagi tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

“Mangsa ditemui di permukaan tasik ketika operasi SAR diteruskan bermula 7.45 pagi tadi selepas ditangguhkan 6.30 petang semalam.

“Mayat mangsa akan diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Aminudin berkata, operasi SAR melibatkan Unit Anjing Pengesan (K-9), Unit Pasukan Penyelamat Di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Sungai Petani dan Kuala Nerang.

Dalam kejadian empat hari lalu, Swee Hin hilang hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik di Tasik Pedu ketika mereka keluar memancing.

Rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang melihat kejadian itu.

Show More

Related Articles

Back to top button