Imigresen tumpas sindiket PATI, 8 warga asing ditahan
PUTRAJAYA – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan tujuh orang individu terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Bangladesh dalam satu Operasi Khas kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi yang dijalankan di sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut beliau, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan di lot parkir premis tersebut.
Katanya, suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia lingkungan 33 tahun bersama dua orang PATI lelaki warganegara Bangladesh,” katanya.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, hasil siasatan awal, pasukan operasi telah memeriksa premis kediaman dan menahan lima orang PATI lelaki warganegara Bangladesh.
Jelasnya, jumlah keseluruhan warganegara Bangladesh yang ditahan adalah seramai lapan orang dan berusia lingkungan 21 hingga 38 tahun.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi telah merampas 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga unit telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM500 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai untuk mengangkut PATI,” katanya lagi.
Tambah Ruslin, modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI terutamanya warganegara Bangladesh yang ingin mencari peluang pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam dan dari Vietnam, PATI akan dibawa menaiki kereta ke Thailand.
“Seterusnya, PATI dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ warga tempatan akan membawa PATI ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.
“PATI akan dihantar ke lokasi yang dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada agen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia.
“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang PATI dan telah beroperasi selama dua bulan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, ‘Transporter’ juga telah ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek. 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Manakala warganegara asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” ujarnya.