Kolaborasi dengan Adidas, Zus Coffee mohon maaf
PUTRAJAYA- Jenama minuman tempatan, Zus Coffee, membuat permohonan maaf berikutan kerjasama pihaknya dengan jenama pakaian dari Eropah, Adidas yang menerima kecaman daripada pengguna media sosial.
Dalam satu kenyataannya, Zus Coffee menyatakan penyertaan mereka dalam kolaborasi tersebut dan pemberian kasut Adidas secara percuma adalah aktiviti yang dilakukan sekali sahaja dan tidak akan diulangi.
“Kami akan lebih berhati-hati dalam aktiviti yang kami lakukan dan jenama yang kami bakal bekerjasama,” katanya dalam kenyataan di laman sosial mereka hari ini.
Zus Coffee menegaskan mereka mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengukuhkan pendirian mereka bagi memastikan ia tidak berulang.
“Untuk mengelakkan kejadian ini berulang, kami mengambil setiap tindakan yang perlu untuk mengukuhkan dasar dan prosedur kami bagi memastikan amalan yang terbaik.
“Kami memohon maaf dan dengan rendah hati memohon maaf atas kesilapan itu,” katanya.
Terdahulu, kolaborasi dua jenama tersebut telah mencetuskan kecaman netizen kerana dilihat bekerjasama dengan jenama luar negara yang dikaitkan dengan ekonomi Israel.
Susulan itu, selepas menerima kecaman hebat daripada netizen, Zus Coffee kemudian telah memadam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Zus Coffee menegaskan pendirian mereka terhadap tindakan genosid di Palestin dengan menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan kebebasan Palestin.
“Kepada pelanggan kami yang dihargai dan komuniti yang lebih luas, kami mengakui bahawa kenyataan kami sebelum ini tidak cukup jelas dalam menyatakan pendirian kami terhadap tindakan genosid di Palestin,” katanya.
Katanya, ZUS Coffee berdiri teguh menentang genosid serta menyokong perjuangan untuk kebebasan Palestin.