Berita Semasa

KKM akan laksanakan penggredan minuman mengikut kandungan gula

Langkah kurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan penggredan minuman mengikut kandungan gula sebagai satu usaha mengurangkan pengambilan bahan manisan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif ini merupakan satu usaha mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.

Katanya, langkah ini mengambil contoh negara jiran, Singapura yang sudah mengkelaskan kandungan gula dalam minuman mengikut Kategori A, B, C dan D.

“Seterusnya kempen advokasi mengurangkan pengambilan gula secara besar-besaran akan dilaksanakan melalui inisiatif yang sudah berlangsung, antaranya pendekatan fiskal iaitu pengenaan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pra-campuran yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat KKM, di sini hari ini.

Terdahulu, hasil penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang hari ini mendedahkan, kira-kira setengah juta atau 2.5 peratus individu dewasa menghidap empat penyakit NCD termasuk obesiti dan kencing manis.

Untuk itu, Dzulkefly berkata, pendekatan segera perlu dilakukan bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan walaupun terdapat laporan yang menunjukkan terdapat penurunan penyakit NCD seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 2019.

Dr Dzulkefly bagaimanapun berkata, data NHMS 2023 menunjukkan satu daripada dua rakyat Malaysia obesiti dan berlebihan berat badan, dengan individu mempunyai berat badan berlebihan berisiko menghidap Diabetes Jenis Dua dan lebih berisiko tinggi menghidap kanser dan penyakit yang dikaitkan dengan pengumpulan sel lemak di hati.

“Justeru, perang terhadap gula selari dengan usaha mengurangkan diabetes dan penyakit NCD lain,” katanya yang tidak memberikan tempoh spesifik untuk pelaksanaan penggredan minuman.

Di Singapura, penggredan yang dikenali sebagai ‘Nutri-Grade’ tersebut mengkelaskan minuman kepada empat gred berbeza warna dengan A (hijau tua), B (hijau muda), C (jingga) dan D (merah), berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu.

Gred A menunjukkan minuman itu mengandungi gula dan lemak tepu paling rendah, manakala gred D (merah) sebaliknya.

Pada masa ini, duti eksais 40 sen dikenakan bagi setiap liter minuman manis yang mengandungi lebih daripada lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi setiap 100 milimeter (ml), bermula 1 Julai 2019.

Show More

Related Articles

Back to top button