Berita SemasaLuar Negara

Perdana Menteri lawat tiga negara Asia Tengah esok

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan selama lima hari bermula esok.

Anwar dijemput mengunjungi negara itu oleh Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Japarov; Presiden Kazakhstan, Kasym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.

Menurut Kementerian Luar Negeri, Anwar akan bertolak dari Doha, Qatar, selepas menamatkan lawatan rasmi jemputan daripada Emir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.

Kunjungan Anwar kali ini akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mengiringi delegasi di Republik Kyrgyzstan.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini menjelaskan Anwar dijadualkan bertemu dengan Japarov untuk membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian Malaysia dan Republik Kyrgyzstan.

Perdana Menteri juga akan melawat pameran kraf dan barangan masyarakat orang peribumi di Taman Negara Ala Archa.

Menurut kenyataan itu, jumlah perdagangan Malaysia-Kyrgyzstan mencatatkan RM162.3 juta pada 2023, peningkatan 312.6 peratus berbanding 2022, manakala Malaysia mengeksport barangan bernilai RM161.1 juta ke Republik Kyrgyzstan pada 2023, dan mengimport barangan elektrik dan elektronik, serta produk kimia bernilai RM1.22 juta.

Sementara itu, di Kazakhstan, kedua-dua pemimpin dijangka akan mengadakan mesyuarat Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia dengan pemain industri Kazakhstan.

Perdana Menteri juga akan bertemu dengan Presiden Kazakhstan pada 17 Mei untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

Jumlah dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 berjumlah RM474.5 juta dengan nilai eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan sebanyak RM465.6 juta dan nilai import dari Kazakhstan sebanyak RM8.9 juta.

Sementara itu, di Uzbekistan, Anwar dijadual bertemu Mirziyoyev untuk mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta bidang kerjasama yang berpotensi.

Selain itu, beliau juga akan melawat Kompleks Imam Hazrati, di mana manuskrip asal Mashaf Uthmani yang tertua di dunia disimpan dan dipamerkan.

Dari Tashkent, Anwar akan ke Samarkand pada 18 Mei di mana beliau dijangka berucap di Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia yang diadakan di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera, Samarkand.

Forum yang dihoskan oleh Uzbekistan itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Abdulla Nigmatovich Aripov.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan mencapai RM451.1 juta dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta dan import berjumlah RM1.99 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button