PH menang PRK Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 3,869 – SPR
KUALA KUBU BHARU – Keputusan rasmi menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, wakil PH, Pang Sock Tao berjaya dipilih sebagai wakil rakyat KKB dengan majoriti 3,869 undi.
Keputusan rasmi PRK DUN Kuala Kubu Bharu kali ini menyaksikan PH meraih 14,000 undi, Perikatan Nasional (PN) 10,131 undi; Bebas (188) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) 152 undi.
Selain itu, peratus keluar mengundi menunjukkan sebanyak 61.51 peratus pengundi hadir termasuk pengundi awal dalam PRK berkenaan.
PRK ini turut menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).
PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Lee Kee Hiong akibat barah yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu, pada 21 Mac lalu.
Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut berhubung keputusan PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor di pautan https://dashboard.spr.gov.my/.