Kerjasama MCMC-MNO tingkat perkongsian rangkaian dan infastruktur telekomunikasi
Inisiatif libatkan 102 buah menara telekomunikasi yang kini mencapai 70 peratus siap
HULU SELANGOR – Kerja-kerja melengkapkan liputan telekomunikasi sama rata melalui Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur kini mencapai 70 peratus.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, melalui usaha itu, sebanyak 102 buah menara telekomunikasi bakal ditingkatkan liputan rangkaian daripada empat kepada enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO).
“Rangka kerja ini adalah bukti komitmen keenam-enam MNO iaitu CelcomDigi* (rangkaian berasingan), Maxis, U-Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications dalam menyediakan liputan perkhidmatan kepada komuniti setempat.
“Saya difahamkan inisiatif ini merupakan yang pertama di dunia yang mana kesemua MNO utama bekerjasama dalam mewujudkan rangka kerja bagi membolehkan perkongsian rangkaian dan infastruktur dilaksanakan. Syabas diucapkan!,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pra Pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Pembangunan (MCMC), Azizi A Hadi.
Bagi tujuan itu kata Fahmi, tujuh kawasan utama yang terlibat adalah lebuh raya, universiti awam, hospital, stadium, kawasan tumpuan pelancong, kem askar serta kuarters polis dan juga kawasan-kawasan sambutan perayaan.
“Misalnya, di Kuala Kubu Bharu ini, rangkaian liputan lima daripada sembilan menara akan dipertingkatkan dengan perkongsian infrastruktur enam MNO,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, sepanjang tempoh enam hingga 12 bulan mendatang, pihak MNO akan melakukan ujian di dalam rangka kerja rangkaian dan menara sebenar.
“Ujian ini akan melibatkan aspek-aspek komersial dan teknikal yang baharu seperti penggabungan penggunaan spektrum Frequency Division Duplex (FDD) dan Time Division Duplex (TDD) pada menara yang sama di samping memastikan proses integrasi
rangkaian yang lancar antara semua MNO.
“Sepanjang tempoh pengujian ini juga, penambahbaikan pada rangka kerja ini akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan input yang diterima daripada setiap MNO,” ujarnya.
Satu perjanjian dimeterai bersama MNO bersama pihak MCMC bagi pelaksanaan Rangkaian Teras Pelbagai Operator untuk memenuhi keperluan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang ditetapkan oleh MCMC.