Berita SemasaSukan

Piala Sumbangsih: JDT mohon Selangor FC pertimbang semula keputusan tarik diri

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan menarik diri daripada bermain pada perlawanan Piala Sumbangsih, Jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih meskipun diberikan jaminan oleh polis.

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC.

“Tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir daripada perlawanan ini kerana ia boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, JDT juga pernah berhadapan situasi sama selepas diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini.

Namun katanya, pasukan itu masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Aelangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Meksipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” katanya.

Semalam skuad Gergasi Merah mengesahkan menarik diri daripada menyertai perlawanan itu susulan ancaman keselamatan terhadap pemain dan pegawai pasukan itu

Ia selepas Faisal Halim cedera serius akibat disimbah asid pada Ahad lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button