Akhyar dijangka kembali sertai latihan minggu depan – Jurulatih TFC
KUALA NERUS – Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang menjadi mangsa samun dan pukul baru-baru ini, dijangka kembali turun menjalani sesi latihan di padang, pada minggu hadapan.
Berita baik tersebut dikongsikan jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner sambil berkata, Akhyar,25, menunjukkan tanda-tanda positif dan beransur pulih selepas menerima enam jahitan susulan insiden itu.
Bagaimanapun, Akhyar diberi cuti tambahan beberapa hari lagi untuk diberi ruang berehat sekaligus terpaksa diketepikan untuk aksi pembukaan Liga Super bertemu Perak, Sabtu ini.
“Akhyar akan kembali ke padang selepas aksi TFC menentang Perak, dia (Akhyar) akan diberi rehat beberapa hari lagi selepas kecederaannya sembuh dan mentalnya kembali stabil,” katanya, hari ini.
Pada 2 Mei lalu, Akhyar cedera di kepala dan kaki akibat disamun berdekatan kondominium kediamannya di Kuala Terengganu.
Berikutan kejadian itu, tonggak Harimau Malaya berkenaan menerima empat jahitan di kepala dan dua di bahagian kaki selain kerugian lebih RM4,800.