Jenayah & Mahkamah

Kertas siasatan 10 individu dipercayai berkait lelaki Israel diserah kepada AGC minggu ini

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan ke atas 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara (AGC), minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, perbincangan akan diadakan bagi membuat keputusan terhadap tindakan lanjut yang akan dikenakan terhadap suspek terlibat.

“Kesemua individu itu masih dalam tahanan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Tempoh tahanan SOSMA tujuh individu akan tamat pada 14 Mei ini, manakala tiga lagi melibatkan warga asing akan tamat pada 15 Mei ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Rusdi berkata, keputusan tuduh, bebas dan usir antara kemungkinan tindakan bakal diambil kepada semua yang terlibat.

“Minggu ini kita akan ada perbincangan untuk kes ini, mungkin akan buat keputusan nanti,” katanya lagi.

Pada 19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung tangkapan ke atas Avitan.

Untuk rekod, Avitan dan sepasang suami isteri sudah dituduh di mahkamah, manakala lima yang lain dibebaskan.

10 lagi individu yang sebelum ini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api 1971, ditahan semula di bawah SOSMA.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Show More

Related Articles

Back to top button