Berita Semasa

Kerajaan Selangor peruntuk RM3 juta insentif haji muassasah

Manfaatkan 6,000 jemaah haji dari Selangor tahun ini

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi insentif haji muassasah pada tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi peruntukan melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI tersebut, seramai 6,000 bakal jemaah dari negeri ini akan menerima sebanyak RM500 seorang.

Tambahnya, jumlah bakal jemaah yang dibantu dan amaun yang diperuntukkan pada tahun ini adalah dua kali ganda berbanding tahun lalu.

“Sebagai persediaan memasuki bulan Zulkaedah, MBI akan melaksanakan insentif haji muassasah seperti yang diluluskan dalam Belanjawan Selangor 2024 pada November lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amirudin menambah, bagi memudahkan proses pendaftaran, bakal jemaah boleh memohon bermula 6 Mei hingga 23 Ogos ini di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan membawa salinan bercetak jadual penerbangan haji muassasah tahun 2024 dengan paparan KOD MUAS.

“Insentif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, Pejabat Penyelaras DUN, dan MBI.

“Saya berharap usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Amirudin, sejak dilaksanakan mulai 2022, pemberian insentif ini telah memanfaatkan seramai 6,000 jemaah muassasah dari Selangor.

“Seramai 3,000 jemaah dibantu pada tahun 2022, diikuti 3,000 lagi jemaah pada tahun lalu,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button