Berita Semasa

PGA9 rampas lebih 4,000 pokok hiasan bernilai RM500,000

KOTA BHARU – Sebanyak 4,000 pokok hiasan dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas dalam operasi di pangkalan haram di Pengkalan Kubor, dekat Tumpat dan Rantau Panjang di sini.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, Op Taring Wawasan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Briged Tenggara itu berjaya menemui beberapa kotak putih di kawasan sempadan negara di Pengkalan Kubor.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kotak mendapati hampir 3,000 pokok kaktus dan pokok keladi tanpa dokumen yang sah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM447,700.

“Dalam operasi di Rantau Panjang, pasukan operasi menahan sebuah lori Isuzu dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menemui lebih 1,000 anak pokok pelbagai jenis tanpa dokumen yang sah bernilai RM77,500.

“Pada masa yang sama, seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup anak pokok dari Thailand ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti dan Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button