Cederakan warga emas, pengurus rumah kebajikan didenda RM4,500
KULIM – Seorang pengurus rumah kebajikan yang mendatangkan kecederaan kepada seorang warga emas di Mahkamah Majistret di sini hari ini, didenda RM4,500 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.
Keputusan itu dibuat Majistret Jamaliah Abd Manap selepas tertuduh, L.Vignesvari, 36 mengaku bersalah atas petuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada P. Tharmalingan, 69, dengan menggunakan kayu di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Karangan, dekat sini kira-kira jam 3 petang, 22 April lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, lapor BuletinTV3 hari ini.
Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Suhailah Ahmad yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk pengajaran sahaja memandang dia seorang ibu tunggal dan memiliki seorang anak berusia dua tahun selain tiada pendapatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S. Pavitra memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh memandangkan kes tersebut berkepentingan awam dan sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Sebelum ini, polis menahan pemilik dan pengurus sebuah rumah kebajikan di Taman Desa Aman dekat sini bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penghuni warga emas dipukul.
Rakaman video yang memaparkan insiden berkenaan tular di media sosial.