Jenayah & Mahkamah

Hantaran jelik nahas helikopter, peniaga didenda RM23,000

TAIPING – Seorang peniaga dalam talian didenda RM23,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas membuat hantaran jelik berhubung nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas yang mengorbankan 10 kru pada Selasa lalu.

Tertuduh, Muhammad Saifuddin Shafik, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Lelaki terbabit turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Malaysia Gazette hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil Saifuddin Shafik@saishafik.

Hantaran itu telah dibaca di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai di Bagan Serai sekitar jam 6.30 petang, 23 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman.

Terdahulu, Muhammad Saifuddin menyatakan permohonan maaf secara terbuka serta meluahkan rasa kesal atas perbuatan itu kepada ahli keluarga mangsa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat Malaysia.

“Saya sedar semasa membuat ‘posting’ itu dan amat menyesali perbuatan saya. Tidak mungkin saya membuat (hantaran) itu sekiranya saya tidak ada (menghidap) bipolar.

“Saya ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada ahli keluarga mangsa, ATM dan seluruh rakyat Malaysia. Saya amat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak wajar dilakukan oleh sesiapa pun di dalam keadaan tragedi seperti ini,” katanya.

Dia turut memaklumkan akan menyahaktifkan akaun Twitternya bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang pada masa hadapan.

Peniaga terbabit membayar denda tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button