Uncategorized

UM zahir rasa kesal, mohon maaf jemput profesor pro-Israel

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menzahirkan rasa kesal berhubung dan memohon maaf susulan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat yang dikeluarkan oleh seorang Profesor Sains Politik, Bruce Gilley.

UM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan telah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.

“UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak.

“Laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini,” katanya.

Semalam, tular di X seorang penceramah warga asing dipercayai menyebarkan naratif pro-Zionis dalam ceramahnya di UM.

Menerusi kenyataan yang dimuat di akaun X milik Profesor tersebut, Bruce secara terbuka menyelar tindakan Malaysia yang secara konsisten mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin.

“Negara yang pemimpin politiknya menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia, dan pastinya tidak akan pernah menjadi rakan atau rakan kongsi Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, pihak UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

“Pihak UM akan terus mendokong pendirian Kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” katanya.

Selain itu, demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat.

Ia termasuk semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button