Berita Semasa

Tragedi helikopter TLDM: Urusan bedah siasat selesai 2.30 petang tadi

IPOH – Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selesai pada pukul 2.20 petang tadi.

Menurut TLDM, kesemua jenazah mangsa beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja di sini untuk solat jenazah sebelum dihantar ke waris masing-masing bagi urusan pengkebumian.

“Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris,” kata TLDM dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad akan dibawa ke Segamat, Johor, manakala Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli akan dibawa ke Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Selain itu, jenazah Pegawai Waran II TMK, Mohd Shahrizan Mohd Termizi dan Pegawai Waran II TNL, Nurfarahimi Mohd Suady masing-masing akan dikebumikan di Lekir dan Selama di Perak.

Jenazah Pegawai Waran II TLR (AQM), Muhammad Faisol Tamadun dan Bintara Muda TNL, Nor Rahiza Anuar pula akan dibawa ke Sik dan Yan di Kedah.

Manakala Jenazah Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi akan dibawa ke Senawang, Negeri Sembilan, manakala Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dibawa ke Rawang, Selangor.

Jasad mendiang Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan TLDM pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok.

Manakala jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk disemadikan.

“Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini.

“TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin,” kata TLDM lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button