Berita Semasa

APEC 2023: Peluang terbaik ketengah penderitaan rakyat Palestin – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menggunakan ruang di Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) bagi mengetengahkan keadaan serta penderitaan yang menimpa warga Palestin saat ini.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama beliau juga akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi, memantap kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua.

“Ia juga merupakan peluang terbaik negara untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai kedudukan ekonomi global semasa dan mendengar serta memberi pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan-usahawan dan para pemimpin APEC.

“Ruangan ini juga akan saya gunakan bagi mengetengahkan keadaan serta penderitaan yang menimpa warga Palestin saat ini, selain meraih dukungan global, merangkul serta memperhebat usaha mempermudah akses dan bantuan kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya sebentar tadi.

Selain itu, Anwar berkata, beliau juga dijadual untuk menyampaikan pidato umum berjudul “Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific, The View from Southeast Asia” di Universiti California, Berkeley.

Anwar yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dijadual menyertai mesyuarat itu dari 14 hingga 17 November 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button