Berita Semasa

Jabatan Bantuan Guaman diingatkan tidak tumpu kes jenayah sahaja

PUTRAJAYA – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) diingatkan agar tidak hanya memberi tumpuan terhadap kes jenayah sahaja, sebaliknya kes-kes lain juga perlu diberi perhatian.

Saranan tersebut disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Santunan Mesra Aidilfitri, di sini hari ini.

Menurut Azalina, pihaknya akan mengadakan satu persidangan kebangsaan berkaitan bantuan guaman bagi menentukan hala tuju baharu JBG.

“Kita kena membuat perubahan dasar pada elemen bantuan guaman kes sivil dan jenayah memandangkan ketika ini hanya kes jenayah diberi tumpuan utama.

“Kebiasaanya, JBG terbabit dalam kes reman. Justeru, kita kena buat kajian bersama dengan Majlis Peguam Malaysia sama ada bantuan guaman itu diberikan pada peringkat mana termasuk ketika masuk mahkamah, perbicaraan, pertuduhan atau reman.

“Inilah yang saya nak JBG pada hari ini memainkan peranan tersebut. Takkanlah bantuan guaman setakat sibuk kes cerai berai syariah sahaja,” katanya.

Selain itu, Azalina berkata, hala tuju baharu bantuan guaman itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan yang diberikan kepada JBG dalam mengendalikan kes jenayah atau sivil berbaloi.

Tambah Azalina, sejak 2011, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sudah mengagihkan bantuan guaman mencecah RM83 juta sejak ia ditubuhkan.

Show More

Related Articles

Back to top button