Berita SemasaPM X

RM3 bilion pelaburan untuk syarikat inovatif, berpertumbuhan tinggi – PM

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional mengumumkan suntikan pelaburan sebanyak RM1 bilion ke dalam ekosistem syarikat berinovatif dan berpertumbuhan tinggi di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.

Selain Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Blue Chip Venture Capital juga akan turut serta dalam gabungan pelaburan berjumlah RM3 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif Khazanah Nasional melalui ‘National Fund of Funds’ itu merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penglibatan syarikat tempatan, usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya berbesar hati ingin berkongsi bahawa Khazanah Nasional dengan peruntukan awal RM1 bilion akan melabur dalam syarikat Malaysia berpertumbuhan tinggi yang inovatif,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sidang Kemuncak KL20 2024 yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk syarikat pemula dan pemodal teroka.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka hadir pada acara dua hari bermula hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa komited dalam membentuk ekosistem pemula yang dinamik agar dapat memposisikan Malaysia sebagai hab utama untuk keusahawanan dan Inovasi.

Tambah beliau, sidang kemuncak itu mensasarkan kedudukan Malaysia dalam 20 negara sebagai hab pemula terbaik di peringkat global menjelang 2030.

“Ini diharap menjadi forum untuk memudah cara syarikat-syarikat permula dalam pelaburan bernilai tinggi dan mengalakkan syarikat permula untuk berkembang ke luar negara dengan memanfaatkan rantaian ekosistem global yang lengkap.

“Saya menghargai perkongsian daripada wakil-wakil syarikat modal teroka dan pelabur yang hadir. Adalah penting supaya dasar-dasar Kerajaan mengambil kira perspektif dan strategi jangka panjang mereka,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button