PRK KKB : Calon sudah disenarai pendek, keputusan pada DAP
PETALING JAYA – Keputusan meletakkan calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu berada di tangan DAP, namun ia tetap akan dimuktamadkan melalui perbincangan bersama Majlis Presiden peringkat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan secara umum melalui Mesyuarat Biro Politik dan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) yang diadakan Sabtu lalu.
“Kerusi (DUN Kuala Kubu Bharu) adalah milik DAP. Ia ada dibincangkan semalam (kelmarin) dan saya difahamkan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan dibawa ke Majlis Presiden PH, seterusnya Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan.
“Saya percaya sudah ada nama (disenarai pendek), namun keputusan akhir di tangan DAP dan dibincangkan juga di peringkat PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media Program Felo Keadilan di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Sehubungan itu, pengundian bagi PRK akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon pula pada hari Sabtu ini.
Sebelum ini, Lee Kee Hiong (DAP) berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).
Bagaimanapun, kerusi berkenaan diisytiharkan kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu.
Sementara itu, Nik Nazmi menyangkal dakwaan di mana dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA memboikot kempen PRK Kuala Kubu Bharu sekiranya kerusi itu tidak ditandingi calon mereka.
Menurutnya, Perdana Menteri telah membuat perbincangan bersama parti lain termasuk BN dan menerima maklum balas yang agak positif kerana pendekatan dibuat sama seperti PRN yang lalu iaitu bertanding sebagai calon Kerajaan Perpaduan.
“Ini adalah kerusi PH, tetapi kita (bertanding) sebagai satu (pasukan). Kita berdepan dengan Perikatan Nasional (PN), jadi memang kita ambil pendekatan untuk berkempen dan meletak usaha sehabis baik untuk kemenangan itu menjadi milik bersama.
“Setakat ini, jentera kita termasuk di peringkat negeri sudah memulakan gerak kerja 100 peratus sehingga hari pengundian.
“Sebenarnya masih terlalu awal (untuk ulas impak jika MCA atau MIC tidak menyokong kempen PRK), insya-Allah kita akan usahakan supaya setiap parti menyumbang untuk gerak kerja kempen kerana setiap parti komponen ada kekuatan, tak boleh ada yang tertinggal,” katanya.