700 hadir Majlis sambutan Aidilfitri PKR Taiping
TAIPING – Kemeriahan majlis sambutan Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Taiping membawa mesej perpaduan Madani.
Seramai 700 orang hadir di majlis yang diadakan di dewan orang ramai Kampung Pokok Assam tambahan tidak mengira perbezaan parti mahupun bangsa dan agama.
Ketua cabang PKR Taiping, Ahmad Zahid Khalid berkata beliau amat teruja dengan kehadiran ramai sejak jam 6 petang hingga 9 malam tadi.
“Kehadiran orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan parti adalah satu anugerah di sambutan Aidilfitri ini.
“Pihak kami tidak menyangka akan sambutan yang ramai sebegini sehinggakan habis semua makanan satu setengah jam sebelum acara berakhir,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Turut hadir meraikan majlis antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan, ADUN Hutan Melintang, Wasanthee Sinnasamy, ketua-ketua cabang PKR dari kawasan sekitar Taiping, wakil dari Parti Amanah Negara dan wakil dari UMNO dan Parti Bersatu Taiping.
Zahid mengucapkan ribuan terima kasih, kepada ahli jawatankuasa PKR Taiping yang membantu menjayakan majlis ini.
“Dengan usaha semua kita dapat menyatupadukan masyarakat setempat selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan Madani.
“Kita turut merasakan masyarakat Taiping sangat berjiwa besar mengenepikan perbedaan semasa pilihanraya dan dengan harapan ianya berkekal,” katanya lagi.
Disamping itu juga PKR cabang Taiping berjaya mendaftar 130 ahli baru pada hari tersebut.
Zahid turut mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin bagi pihak PKR cabang Taiping buat semua sempena Syawal yang mulia ini.