
Kedah Darul Aman lancar jersi rasmi baharu 26 Julai ini
ALOR SETAR – Walaupun musim sudah bermula sebanyak empat perlawanan namun, pasukan bola sepak tempatan, Kedah Darul Aman (KDAFC) akan memperagakan jersi rasmi pasukan pada 26 Julai ini ketika menentang Kuching City, di Stadium Darul Aman.
Pemilik kelab KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata, persiapan set kelengkapan utama pasukan itu masih dalam proses perkilangan dan sedang disiapkan sebelum skuadnya menyarung seragam rasmi tersebut.
“Kami komited memastikan jersi rasmi ini siap pada waktunya dan dapat dipakai oleh pasukan dalam perlawanan yang dinanti-nantikan,” katanya dalam sidang media di laman sosial rasmi kelab.
Dalam perkembangan yang sama, pihak pengurusan Kedah turut bakal mengumumkan senarai penaja utama dalam masa terdekat bagi menjadi rakan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak.
Katanya, pengumuman itu dijangka membawa perubahan besar dalam landskap penajaan pasukan dengan kemasukan penaja-penaja baru yang berkaliber.
Tambah beliau, pelancaran inisiatif perekonomian pasukan Kedah telah menerima khabar berita positif susulan mereka sedang memeterai hala tuju selain menjadi sokongan utama kelab itu menjana kewangan yang stabil.
“Kami berusaha keras untuk memastikan kestabilan kewangan pasukan dan memastikan kami dapat bersaing di peringkat tertinggi,” tambah Tan Sri Mohd Daud.
Dengan perancangan yang rapi dan kerjasama yang erat antara pihak pengurusan dan penaja, skuad kendalian Nafuzi Zain itu optimis untuk mencipta kejayaan pada musim ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |