Pesawah maut, kaki hancur termasuk dalam jentera pembajak
PARIT BUNTAR – Seorang lelaki maut ketika melakukan kerja-kerja menggembur tanah menggunakan sebuah jentera pembajak di Tebuk Haji Musa, Titi Serong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, polis hadir ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada pukul 7.15 malam.
Menurutnya, mangsa ditemui terbaring di belakang jentera dan dalam keadaan ditutupi kain.
“Siasatan mendapati mangsa, Hirmi Abdul Rahman, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat terkena jentera pembajak.
“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tangan kirinya patah manakala kaki kanan hancur disyaki termasuk ke dalam jentera pembajak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, hasil temubual bersama ahli keluarga mendapati mangsa seorang pesawah dan sering mengambil upah membajak di sekitar kawasan Titi Serong.
Kata Juna lagi, mangsa difahamkan biasa memulakan kerja-kerja membajak pada awal pagi sehingga petang dan dijemput pulang isterinya.
“Semalam, ketika isterinya mahu menjemput suami pulang, dia mendapati mangsa dalam keadaan cedera parah dan meminta bantuan kakaknya menghubungi hospital.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal oleh pasukan perubatan,” jelasnya.