Isu kartel beras KPKM tidak campur urusan siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak akan melindungi mana-mana kartel dan tidak akan mencampuri urusan siasatan oleh pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau telah menjelaskan berkenaan isu kartel padi dan beras sebelum ini dan mungkin ada yang terlepas pandang.
“Negara kita ada MyCC antara tugasnya adalah menyiasat kewujudan kartel dalam ekonomi negara kita.
“KPKM tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Mohamad menegaskan, dengan kerjasama semua pihak dengan MyCC dapat menghapuskan kegiatan kartel padi dan beras di negara ini.
Sebelum ini, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, terdapat kartel beras putih bertindak mengawal jual beli padi sehingga berlaku kekurangan bekalan serta peningkatan harga.