Berita Semasa

Remaja maut setelah terlanggar kenderaan polis

ALOR GAJAH – Seorang remaja maut ketika menerima rawatan di Hospital Melaka (HM) setelah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Mohammad Khairul Basahri,18, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman pada jam 12.37 tengah malam tadi oleh doktor bertugas.

Terdahulu, video kejadian dirakam orang ramai yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.56 pagi semalam semasa kenderaan pacuan empat roda polis terbabit sedang dalam tugas rondaan cegah lumba haram dan dilanggar oleh motosikal ditunggangi mangsa.

Menurutnya, kenderaan terbabit dipandu anggota dari Balai Polis Durian Tunggal yang ke lokasi kejadian selepas menerima aduan awam berkaitan bunyi bising serta terdapat aktiviti lumba haram di kawasan berkenaan.

“Anggota terbabit menyalakan lampu mata arah (beacon light) serta bunyi siren amaran ketika memandu ke lokasi.

“Menyedari kehadiran polis, semua individu yang sedang berkumpul di tepi jalan berkenaan cuba melarikan diri dengan menggunakan motosikal masing-masing.

“Namun, sewaktu kenderaan polis membelok ke arah kanan jalan, ia dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal yang juga pekerja sambilan di sebuah kilang perabot mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan, manakala anggota polis berusia 37 tahun tidak cedera.

Menurut Zainol, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button