Berita Semasa

Menteri Agama kecam pembunuhan ahli keluarga Ismail Haniyeh

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah kepada Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang kehilangan beberapa orang ahli keluarganya dalam serangan terbaharu Zionis Israel ke atas Palestin, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau dan pihaknya berdukacita dan mengutuk perbuatan Zionis Israel yang sangat tidak berperikemanusiaan itu walaupun dalam suasana umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri.

“Semoga beliau terus tabah dengan ujian besar ini.

“Tentunya ia sama sekali tidak melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang demi negara Palestin,”katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im mengajak semua pihak untuk terus berdoa supaya rakyat Palestin terus diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan Zionis Israel.

“Sesungguhnya doa kita semua amat bermakna tanda kesatuan hati kita semua.” ujarnya lagi.

Menurut laporan TV Al Jazeera, tiga anak lelaki Haniyeh – Hazem, Amir dan Mohammad – terkorban apabila kereta yang mereka naiki dibom di kem Al-Shati di Gaza.

Sehubungan itu, serangan itu juga mengorbankan dua cucunya, manakala seorang lagi dilaporkan cedera, menurut laporan media Hamas.

Show More

Related Articles

Back to top button