Kenyataan MCCBCHST mengenai Akta 355 mengelirukan, boleh timbulkan suasana tidak harmoni
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar membidas pihak Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang mempersoalkan pindaank epada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, kenyataan MCCBCHST adalah mengelirukan serta boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.
“Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum Syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang beragama Islam.
“Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan. Selaras dengan peruntukan ini, Parlimen telah memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah,” katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Na’im, berdasarkan jadual itu dua perkara utama yang digariskan adalah kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan
perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Selain itu katanya, bidang kuasa mengenai hukuman bagi kesalahan yang
diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.
“Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang di negeri-negeri bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan.
“Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh badan perundangan negeri, perlu difahami bahawa hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri hendaklah
dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta 355,” katanya.
Sementara itu katanya, cadangan untuk meminda akta itu adalah bertujuan meningkatkan bidang kuasa
jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman yang
pada masa ini hanya terhad kepada pemenjaraan selama tempoh tidak
melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman tersebut
“Sejak pindaan kali terakhir terhadap had maksimum bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah pada tahun 1984 tersebut, kini telah hampir 40 tahun berlalu, namun kadar hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam Akta 355 tidak lagi pernah dipinda.
“Kadar hukuman yang diperuntukkan dalam Akta 355 tersebut didapati sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.
“Cadangan pindaan kepada Akta 355 tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan badan perundangan negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Ini kerana, badan perundangan negeri hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa perundangan yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.