800 sertai Majlis Khatam Perdana WBS, Care Economy
SHAH ALAM – Seramai 800 peserta terlibat dalam Majlis Khatam Perdana 2024 anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Economy), semalam.
Menurut WBS, tujuan utama majlis diadakan adalah untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan alunan suci ayat al-Quran selain mengeratkan hubungan silaturahim.
“Ramadan hampir sampai ke penghujung dan umat Islam seluruh pelusuk dunia kini berlumba-lumba melakukan amalan sebanyak mungkin pada hari sepuluh terakhir bulan yang mulia ini.
“Tidak mahu ketinggalan, WBS dan Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Care Economy ingin memanfaatkan fasa terakhir Ramadan ini untuk sama-sama mengalunkan bacaan suci al-Quran menerusi program khas iaitu Majlis Khatam Perdana 2024,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Dalam pada itu, majlis yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Sultan Abdul Aziz itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertuan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhammad sebagai perasmi majlis selain ucapan aluan yang disampaikan oleh Pengerusi WBS, Anfaal Saari.
Majlis berkenaan membawa tetamu dan peserta yang hadir untuk bertadarus melengkapkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran di mana setiap kumpulan ditugaskan dengan juzuk terpilih untuk dibaca bersama di bawah bimbingan Juara Tilawah Peringkat Antarabangsa 2019, Farhatul Fairuzah Panut.
Menurutnya lagi, peserta yang terlibat terdiri daripada pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri Selangor dan persekutuan, pihak swasta, Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sehubungan itu, WBS juga menjelaskan bahawa majlis ini merupakan kesinambungan keberhasilan penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2023 yang diadakan pada Ramadan tahun lalu.