Tabung Haji umum agihan keuntungan 2023 sebanyak 3.1 peratus
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, melibatkan nilai RM2.72 bilion bagi tahun kewangan 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH.
“Alhamdulillah, Tabung Haji masih lagi dapat memberikan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus, sama seperti tahun sebelumnya meskipun negara terus berdepan persekitaran yang mencabar tatkala ekonomi berkembang perlahan serata dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023 hari ini.
Hadir sama, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman.
Tambah Mohd Na’im, TH turut akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua majlis-majlis agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit pada kadar 2.57 peratus untuk tahun 2023.
“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima,” ujarnya lagi.