Berita Semasa

Bom petrol di KK Mart : Sultan Pahang tindakan tegas, segera

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dan kecewa berhubung kejadian lontaran bom petrol di kedai serbaneka KK Mart di sini semalam.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Seri Paduka bertitah supaya semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak melampaui batas.

Baginda bertitah supaya rakyat negara itu tidak sesekali terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara ini.

“Paduka Baginda telah menerima sembah maklum oleh pihak polis negeri Pahang mengenai kejadian tersebut dan menitahkan supaya pihak polis memberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara itu.

“Paduka Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan dan kemakmuran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia Tribune semalam melaporkan sebuah pasar raya KK Super Mart di Sungai Isap di sini dibaling dengan bom petrol atau molotov cocktail dengan niat mengkhianat.

Sebelum ini, sebuah cawangan di Bidor, Perak turut dilontar bom petrol.

Kedua-dua kejadiaan dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan kebencian terhadap jenama kedai serbaneka itu selepas terpalit kontroversi penjualan stoking berkalimah Allah, baru-baru ini.

Show More

Related Articles

Back to top button