Jenayah & Mahkamah

5 penjenayah bersenjata api maut ditembak

SUBANG JAYA – Lima penjenayah yang disyaki aktif dalam lebih 50 kejadian samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang sejak dua tahun lalu ditembak mati polis malam tadi.

Menurut laporan BH Online, suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun yang menaiki sebuah kereta Perodua Axia, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Persiaran Harmoni, Putra Heights, di sini jam 11.30 malam tadi.

Ketika diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek yang juga warga tempatan memecut kereta sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Pasukan polis terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur, cuba mengepung kereta sebelum suspek merempuh bahagian belakang kenderaan polis.

Menurut sumber, pada masa sama, suspek terus melepaskan tembakan dan demi mempertahankan diri anggota polis melepaskan tembakan balas ke arah suspek.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek mati di tempat kejadian dan polis turut menemui dan merampas dua senjata api digunakan suspek bersama senjata lain.

Sumber berkata, semua suspek memiliki rekod dikehendaki pihak polis atas kejadian samun bersenjata api dan rekod jenayah lampau.

“Suspek dilaporkan aktif menyamun wang tunai dari van syarikat penghantaran, kilang dan rumah individu yang menyimpan wang tunai dan barang kemas di sekitar Shah Alam, Puchong, Klang, Subang Jaya, Kajang dan Sentul.

“Suspek juga turut didapati mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka,” katanya.

Katanya, polis percaya ketika ditahan, kesemua suspek mempunyai perancangan untuk melakukan jenayah samun bersenjata api.

Show More

Related Articles

Back to top button