Jabatan Perangkaan nafi sistem PADU guna kaedah lapuk
PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia menafikan dakwaan bahawa pembangunan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menggunakan kaedah lapuk.
Menurut Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia, PADU bukan hanya digunakan sebagai medium pengemaskinian data, malah ia melaksanakan fungsi utama berbentuk analitikal serta melangkaui skop transaksi dan kemaskini data.
“PADU bukan hanya digunakan sebagai medium pengemaskinian data, malah PADU melaksanakan pelbagai fungsi utama berbentuk analitikal serta melangkaui skop transaksi dan kemaskini data.
“Sehubungan itu, reka bentuk yang dibangunkan PADU adalah yang terbaik, selamat dan berkesan.
“Justeru itu, kenyataan menyatakan pembangunan PADU dibangunkan menggunakan kaedah lapuk adalah semberono,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, perincian sistem dan arkitektur PADU juga tidak didedahkan kepada umum, maka kenyataan bahawa kaedah pembangunan sistem PADU ini lapuk adalah tidak wajar dan tidak berhemah.
Mengulas lanjut katanya, PADU adalah inisiatif terkini kerajaan untuk mewujudkan satu pangkalan data yang menjadi rujukan tunggal dalam mengukuhkan pelaksanaan program dan penggunaan sumber kewangan negara bagi kesejahteraan rakyat.
“Dalam membangunkan sistem ini, pasti ianya telah ditentukan objektif yang ingin dicapai meliputi dimensi pengintegrasian data daripada pelbagai sumber (i.e. pelbagai pangkalan data kerajaan, datadata banci / survei yang dilaksanakan oleh DOSM secara berkala dan pengemaskinian kendiri secara dalam talian oleh rakyat), dimensi analitik dan keselamatan.
“Dalam pembangunan sistem ini, terdapat elemen yang perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira ketersediaan piawaian data, struktur, liputan, konsep dan definisi yang digunakan di pelbagai agensi pembekal data.
“Seterusnya, aspek pemetaan dan pendataan data perlu dilaksanakan. Maka, sistem ini bakal menghasilkan pangkalan data yang jitu dan menjadi aset strategik negara,” ujarnya.
Sementara itu katanya, pembangunan sistem PADU yang dilaksanakan secara in-house telah berjaya mengambil kira keperluan yang dinyatakan dan pastinya teknologi terkini, kaedah dan reka bentuk merupakan teras kepada pembangunan sistem PADU ini yang berpaksi kepada kebijaksanaan dan ketelitian.
Jelasnya, penggunaan API adalah antara mekanisme penting dalam sistem PADU ini dan akan terus ditingkatkan berdasarkan dinamika, kompleksiti dan ketersediaan pangkalan data di pelbagai agensi.