Sumbangan Kempen Mengejar Sedekah Seribu Bulan 100 peratus disampaikan kepada golongan memerlukan
CYBERJAYA – Kempen Mengejar Sedekah Seribu Bulan merupakan salah satu peluang buat individu yang ingin mengejar keberkatan dan pahala tambahan di bulan Ramadan dengan sebaiknya.
Kempen yang dianjurkan oleh portal gaya hidup Islam, Ikhlas.com menyasarkan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM1.1 juta pada bulan Ramadan ini bagi diagihkan pada golongan yang memerlukan, dan setakat ini, lebih separuh telah berjaya dipungut daripada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, orang ramai boleh menyumbang seberapa banyak yang mereka mahu, dan jumlah tersebut 100 peratus disalurkan kepada yang memerlukan.
“Kita ada banyak golongan sasar, antaranya asnaf, pelajar dan pelbagai lapisan yang memerlukan.
“Sumbangan yang kita selia ini tidak disalurkan pada hari tertentu, tetapi secara harian. Jadi boleh dikatakan kita mempunyai program yang berterusan secara harian dan di pelbagai lokasi,” kata Ikhlas, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), di sini malam tadi.
Pada majlis ini, Ikhlas.com menyumbang sebanyak 1,000 pek juadah bagi pelajar dari pelbagai latar belakang berbuka puasa bersama-sama di samping mengeratkan hubungan di antara pelajar dan kakitangan.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif UMCCed, Dr. Azni Zarina Taha, dan Timbalan Pengarah Eksekutif (Pembangunan, Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Zuraidah Abdullah.
Untuk rekod, UMCCed yang berpangkalan di Cyberjaya merupakan sebuah pusat pengajian yang menawarkan diploma dan diploma eksekutif dalam pelbagai bidang dan merupakan sebuah pusat akademik di bawah Universiti Malaya (UM).
Mengulas lanjut mengenai program hari ini, Ikhlas berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai supaya lebih ramai golongan dapat dibantu dan didekati menerusi kempen ini.
“Kami amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang ingin berinfaq pada bulan Ramadan ini. Kami akan memastikan sumbangan yang diamanahkan untuk disampaikan, akan tiba ke tangan golongan yang memerlukan, insya Allah,” kata Ikhlas lagi.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Kempen Mengejar Sedekah Seribu Bulan ini boleh melakukannya dengan mengakses portal sumbangan di https://ikhlas.com/sadaqah/en/gb/lailatulqadar/