Berita Semasa

Gaji kumpulan pelaksana naik 15 peratus, pengurusan tertinggi 7 peratus – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita baik untuk penjawat awam dengan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.

Perdana Menteri berkata, pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini.

“Fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026 dan kita melaksanakannya secara berfasa kerana kekangan dan mahu mengelakkan inflasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, bagi pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional, pelarasan gaji adalah sebanyak lapan peratus pada fasa satu dan tujuh peratus pada fasa dua.

“Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pelarasan gaji adalah empat peratus bagi fasa satu dan tiga peratus bagi fasa dua

“Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara,” katanya.

Beliau berkata, justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh
penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.

Sementara itu katanya, bagi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tidak Berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak.

Katanya, pertimbangan ini dibuat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup veteran ATM yang terlibat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button