Berita Semasa

Kerajaan laksana pelbagai langkah tingkatkan akses jalur lebar di luar bandar – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan akses kemudahan jalur lebar di luar bandar.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 2,395 buah menara baharu daripada 3,884 yang dirancang telah siap dan beroperasi setakat 31 Januari 2024.

“Dibawah pelan yang sama, sebanyak 39,983 buah stesen pemancar telah siap dinaik taraf daripada 40,214 yang dirancang dan sebanyak 3.32 juta premis telah tersedia dengan rangkaian gentian optik daripada 4.19 juta yang dirancang.

“Kesemua inisiatif yang dirancang dijangka siap dan akan beroperasi secara berperingkat pada penghujung tahun 2025,” kata Fahmi, di Dewan Rakyat hari ini.

Seterusnya, Fahmi berkata, kerajaan turut melaksanakan projek penyediaan perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit [Broadband Wireless Access (BWA)] yang telah siap di 839 lokasi di kawasan pedalaman di seluruh negara.

“Selain itu, Kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik berhampiran sekolah yang dapat dinikmati oleh premis kediaman, premis industri serta premis perniagaan yang terletak sekitar sekolah tersebut.

“Sehingga 5 Mac 2024, sebanyak 653 PoP daripada 677 PoP bagi Fasa 1 dan 311 PoP daripada 3,693 PoP bagi Fasa 2 telah disiapkan di seluruh Malaysia,” kata Fahmi lagi.

Dan sebagai langkah alternatif, Fahmi menambah, orang ramai turut boleh mendapatkan perkhidmatan internet melalui satelit seperti Starlink.

“Perkhidmatan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan pengguna boleh melanggan secara terus dengan pihak Starlink atau ejen-ejen yang berdaftar.

“Perkhidmatan internet melalui satelit ini sesuai digunakan di kawasan yang belum mempunyai akses perkhidmatan internet daripada teknologi selular mahupun gentian optik,” kata Fahmi lagi.

Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Edwin anak Banta (GPS-Selangau) mengenai pelan tindakan alternatif meningkatkan akses jalur lebar dapat sampai ke kawasan luar bandar dengan terhadnya perlaksanaan strategi dan pelan sekarang.

Beliau kemudiannya berkata, Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa komited dalam mengenal pasti keperluan dan penambahbaikan perkhidmatan internet di seluruh negara.

“Kerjasama serta komitmen Kerajaan Negeri dan semua pihak berkaitan antara lain seperti Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi melulus adalah penting bagi memastikan segala perancangan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button