Ahli Parlimen Rantau Panjang cedera, terbabit kemalangan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Antarabangsa, Ampang di sini semalam.
Dalam kemalangan itu, kenderaan SUV jenis Toyota yang dinaikinya dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah kereta yang terbabas dan memasuki laluannya.
Menurut Siti Zailah, ketika kejadian beliau bersama suami dan anaknya dalam perjalanan ke tempat program berbuka puasa bersama Anak Yatim di Sekolah Tahfiz di Puchong.
“Kami bertolak lepas solat asar. Dalam perjalanan kami biasa memulakan perjalanan sama-sama satu keluarga bacaan zikir Al Mathurat.
“Tiba-tiba masa kami dalam perjalanan sekitar 10 minit dari tempat penginapan ketempat program, datang satu kereta dari arah bertentangan dengan laju dan masuk lorong jalan kami.
“Kami tak dapat mengelak dan terus berlaku kemalangan. Alhamdulillah berkat pertolongan dan doa semua, kami selamat. Ambulans datang kira kira 20 minit selepas kejadian dan bawa kami ke Hospital Ampang,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu Siti Zailah berkata, selepas rawatan beliau dibenarkan keluar dan sedang berehat di rumah.
“Paha Kak Lah masih sakit tetapi Alhamdulillah tidak patah. Anak perempuan saja yang retak tulang jari dan ada patah sikit di kaki.
“Terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan kami sekeluarga,” katanya.