Rayuan akhir kes bakar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah didengar hari ini
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini akan mendengar rayuan akhir seorang pemuda berusia 22 tahun yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dengan cara membakar pusat tahfiz berkenaan pada 14 September 2017.
Pemuda itu yang juga penama pertama merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengekalkan perintah agar dia ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Terdahulu, pada 11 September 2023, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa.
Mahkamah Rayuan turut membebaskan seorang lagi pemuda juga berusia 22 tahun iaitu penama kedua daripada kesalahan serupa.
Dalam kejadian yang menyayat hati itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, tujuh tahun lalu.