Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan akhir lelaki bakar tahfiz Ittifaqiyah, kekal ditahan di penjara

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan pemuda berusia 22 tahun selepas dia didapati bersalah membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dengan cara membakar pusat tahfiz berkenaan pada 14 September 2017.

Justeru itu, hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong yang dikenakan ke atas perayu yang juga penama pertama dikekalkan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak rayuan penama pertama.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Pada prosiding hari ini juga, pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan selepas seorang lagi pemuda, juga berusia 22 tahun selaku penama kedua dibebaskan daripada kesalahan serupa oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Terdahulu, pada 17 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong susulan penama pertama yang ketika kejadian berusia 16 tahun adalah pesalah kanak-kanak.

Pada 11 September 2023, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa.

Dalam kejadian yang menyayat hati itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-duanya yang ketika kejadian berusia 16 tahun, didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi tujuh tahun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button