4,752 kawasan di seluruh negara belum daftar PADU, berisiko keciciran bantuan kerajaan
KUALA LUMPUR – Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan komitmen kerajaan untuk menyediakan satu pangkalan data yang memberikan sumber tepat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, menurut statistik terkini, sebanyak 5.43 juta individu telah mendaftar data PADU sehingga pukul 11.59 semalam.
“Akan tetapi terdapat 4,752 kawasan di seluruh Malaysia yang tidak mempunyai sebarang pendaftaran di bawah PADU mahupun program bantuan kerajaan yang sedia ada.
“Penduduk di kawasan-kawasan yang belum diliputi PADU, walaupun daripada golongan B40 dan B60, berisiko tercicir daripada menerima bantuan kerajaan yang akan datang.
“Kementerian memberi tumpuan kepada pengemaskinian data individu dan isi rumah dalam tempoh 2 minggu seterusnya, terutamanya di kawasan dikategorikan sebagai berisiko terbesar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa yang sama beliau memaklumkan satu sesi Townhall akan diadakan pada 23 Mac di Pusat Konvensyen MBSA untuk memberi penerangan mengenai manfaat PADU dengan kerjasama pihak berkaitan untuk meningkatkan pendaftaran rakyat, terutamanya di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Katanya, kaunter pendaftaran juga akan dibuka bagi membantu orang awam untuk mendaftar dan mengemaskini PADU.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah yang sama, dengan mengumpulkan wakil-wakil penduduk dari kawasan-kawasan berisiko tinggi keciciran, untuk menggalakkan pendaftaran penduduk dalam PADU.
“Mulai 31 Mac, data yang terdapat dalam PADU akan digunakan untuk merangka dasar dan menentukan kelayakan individu untuk bantuan, dan subsidi,” katanya lagi
Sementara itu Rafizi sekali lagi menyeru kepada semua untuk mendaftar dan mengemaskini data di PADU sebelum 31 Mac untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan.