394,000 nikmati pengurangan kadar bayaran PTPTN sejak bajet lalu
KUALA LUMPUR – Sebanyak 394,000 pemimjam Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) menikmati insentif diskaun yang ditawarkan kerajaan sejak pembentangan Belanjawan 2024 sejak 14 Oktober sehingga 31 Januari lalu.
PTPTN dalam kenyataan hari ini berkata, tawaran diskaun itu melibatkan peruntukan RM57.78 juta dengan kutipan bayaran balik yang layak diskaun berjumlah RM442.09 juta.
“Melalui pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, kerajaan bersetuju pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 15 peratus bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024 meliputi tiga kategori,” menurut kenyataan itu.
Dua kategori yang layak menerima pengurangan sehingga 10 peratus adalah mereka yang membuat penyelesaian penuh dan yang membuat pembayaran untuk sekurang-kurangnya 50 peratus dari hutang secara one off.
Sementara itu, pengurangan 15 peratus diberikan kepada mereka yang membuat bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang memberikan manfaat kepada peminjam PTPTN.
“Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amatlah dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan kepada anak-anak generasi akan datang sekali gus memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
“Dengan pelbagai usaha dan pendekatan mesra dilaksanakan oleh PTPTN, diharapkan peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik dan tampil berbincang dengan PTPTN sekiranya terdapat sebarang kemusykilan kerana PTPTN sedia membantu,” katanya.