Berita Semasa

Pemuda UMNO beri KK Mart 2 hari naikkan kain rentang mohon maaf

CYBERJAYA – Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart supaya memasang kain rentang di semua 881 cawangannya di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi amaran, Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan itu.

“Kepada pihak pengurusan KK (Super) Mart, kami memberi anda masa dua hari.

“Kain rentang memohon maaf atas insiden itu mesti dipasang di setiap 881 cawangan di seluruh negara.

“Saya akan arahkan pemimpin UMNO turun padang dan periksa sama ada semua cawangan kedai serbaneka itu sudah memasang kain rentang atau sebaliknya,” kata Dr Akmal di akaun TikTok miliknya, malam tadi.

Terdahulu, beliau yang juga ADUN Merlimau membuat laporan terhadap pengurusan KK Super Mart di Balai Polis Merlimau di Melaka pada jam 10.30 malam tadi.

“Dengan laporan polis itu, kami meminta polis menyiasat dan mencari pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu, sama ada KK (Super) Mart atau vendornya.

“Kami mahu siasatan berhubung kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan. Kita tidak seharusnya membiarkan perkara itu terlepas hanya kerana seseorang menangis (ketika meminta maaf atas kejadian itu).

“Kami menggesa rakyat Malaysia memberi pengajaran kepada mereka,” katanya, sambil menambah insiden itu tidak boleh diterima dan ia telah melampau batas.

Beliau juga meminta semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, untuk menghantar isyarat jelas supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

KK Supermart sebelum ini telah mengeluarkan permohonan maaf selepas penjualan stokin itu tular di media sosial.

Pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK, Datuk Seri Dr KK Chai, berkata beliau juga berang dengan pembekal stokin tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button