Ibu bapa, penjaga masih perlu main peranan awasi aktiviti dalam talian anak-anak
KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga masih perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka walaupun penyedia platform mempunyai mekanisme tersendiri bagi mengawalselia pengguna bawah umur.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga.
“Kebanyakan penyedia platform media sosial mempunyai had umur pengguna akaun di mana hanya mereka yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun media sosial.
“Bagi memastikan syarat ini dipatuhi, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka,” kata Fahmi di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamal Ashaari (Kuala Krau-PAS) yang bertanyakan mengenai langkah pihak kementeriaan bagi menghadkan akses individu berumur 15 tahun ke bawah dari memiliki akaun media sosial sekaligus mencegah mereka daripada mengikuti trend yang tidak baik.
Fahmi turut menambah, bagi membantu ibu bapa memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan alatan perisian yang dikenali sebagai Parental Control Tools yang membolehkan mereka memantau, menapis, mengehadkan dan menyekat kandungan yang dilihat dan aktiviti anak-anak dalam talian.
Lima penyedia perkhidmatan tersebut adalah CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME.
Fahmi menambah, pihaknya turut mengadakan pelbagai program bagi menangani risiko dan ancaman terhadap kanak-kanak sama ada disebabkan orang lain atau tingkah laku mereka sendiri.
“Kita turut mengadakan pelaksanaan program-program berbentuk pendidikan dan kesedaran tentang keselamatan internet terus dipertingkatkan melalui inisiatif-inisiatif seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia [Malaysia ICT Volunteer (MIV)] di sekolah-sekolah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) di seluruh negara.
“Pelaksanaan inisiatif ini diperkasakan melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam membangunkan modul pendidikan berkenaan perlindungan kanak-kanak dalam talian untuk ibu bapa, penjaga, dan kanak-kanak,” kata Fahmi lagi.