KPWKM hentikan bantuan elaun kepada pengemis OKU miliki Proton X70
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberhentikan pemberian elaun Orang Kurang Upaya (OKU) kepada seorang penerima yang didapati menjalankan aktiviti mengemis hingga mampu memiliki sebuah Proton X70 Premium.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain pemberhentian elaun sebanyak RM450 tersebut, pihaknya turut memberikan amaran dan meminta lelaki itu melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis lagi.
“Siasatan lanjut juga mendapati dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan dan sebab itulah individu ini tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Noraini berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu tindakan KPWKM dan JKM terhadap seorang OKU yang menerima bantuan daripada JKM, namun melakukan aktiviti mengemis dan memiliki sebuah Proton X70 seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Lelaki yang mengalami kecacatan pada kedua-dua belah tangannya itu dilaporkan memperoleh pendapatan hingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil kutipan sumbangan orang ramai di pasar malam sebelum perbuatan itu berjaya dibongkar JKM Maran, Pahang pada Februari lepas.
Sementara itu, mengulas langkah jangka panjang KPWKM bagi menangani isu orang papa dan gelandangan, Noraini berkata, pihak kementerian sedang melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menambah baik pengendalian isu berkenaan.