Tangkap khalwat 2 pelakon bukan gimik – Menteri Agama
KUALA LUMPUR – Tangkapan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadap dua pelakon, Aliff Aziz dan Ruhainies yang dipercayai berkhalwat baru-baru ini, bukan gimik.
Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, agensi berkenaan tidak berkompromi dengan perkara yang melibatkan perbuatan maksiat sekalipun demi mempromosikan selebriti atau sebagainya.
“Saya nak tekankan di sini tidak ada JAWI akan kompromi perkara ini dan melakukan tangkapan bagi satu kesalahan semata-mata nak mempromosi selebriti atau apa sekalipun. Ini tidak termasuk langsung dalam usaha yang dibuat oleh pihak JAWI.
“Memang saya bercakap dengan Datuk Haji Ismail (Pengarah JAWI) sendiri di Bahagian Penguatkuasaan itu yang kita tekankan. Jadi tidak timbul isu ianya satu gimik,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan agensi tersebut membuat serbuan berasaskan aduan pihak ketiga.
Jelasnya, Bahagian Penguatkuasaan JAWI akan melakukan tindakan secara bebas dan adil.
“Perbuatam maksiat tetap maksiat, kita tidak boleh mempromosikannya. Jadi tidak timbul JAWI melakukan ini sebagai gimik.
“Kalau ada sebarang laporan yang dikemukakan pihak pengadu, pihak ketiga kepada Bahagian Penguatkuasaan JAWI, jadi ia tidak ada hubungan dengan selebriti atau mana-mana.
“Jadi berdasarkan aduan tersebut bahagian ini akan memulakan siasatan dan sekiranya didapati ada kelakuan itu kemudian akan buat tangkapan. Ini yang berlaku,” jelasnya.
Terdahulu Mohd Na’im berkata, khalwat merupakan kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
Pada awal pagi Sabtu lalu kecoh berita Aliff yang juga suami kepada Bella Astillah ditangkap khalwat dengan Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31.
Dilaporkan, kedua-dua pelakon berkenaan kemudiannya dibawa ke pejabat JAWI pada awal pagi, seterusnya dibebaskan dengan jaminan sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dalam masa terdekat.