Berita Semasa

Kait Kampung Baru Cina dengan komunis, Kor Ming nasihat pembangkang elak isu perkauman

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membidas pembangkang yang berterusan membangkitkan isu Kampung Baru Cina dan mengaitkannya dengan komunis.

Ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja, Kor Ming berkata, kementeriannya sentiasa terbuka kepada semua pihak, termasuk pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencadangkan pencalonan bagi Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berharap pembangkang yang membangkitkan isu itu dalam perbahasan tidak memainkan isu Kampung Baru Cina sebagai sentimen perkauman, terutama menjelang Ramadan esok dan mengelakkan amalan asabiyah.

“Saya perhati sudah lima kali isu sama dibangkitkan Yang Berhormat (YB), tak pernah bertaubat pun. Tiap kali sesi mesti soalan sama.

“Justeru, saya harap, esok mula bulan Ramadan, biarlah kali terakhir saya jawab dengan penuh tenang jiwa supaya tidak payah ulang,” katanya.

Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) sebelum itu, berkata cadangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia seolah-oleh mengiktiraf komunis di negara ini kerana perkampungan itu dibentuk berikutan komunis mempengaruhi kaum Cina.

Kor Ming bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai berniat jahat.

“Sejak bila Kampung Baru Cina disamakan dengan komunis? Penduduk di sana adalah mangsa komunis, bukan mereka komunis.

“Saya duduk di Kampung Baru tapi saya boleh berbahasa Melayu, saya belajar sejarah Islam, apa salahnya? Sebab itu saya kata jangan buat dakwaan yang terlalu mudah begitu,” katanya.

Menyentuh isu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, kerajaan perlu sensitif dan memahami dasar ibu, iaitu Akta Warisan Negara 2005.

“Dalam isu Kampung Baru Cina, ia menyentuh sensitiviti kaum Melayu, tentera kita dan bekas penjawat awam, malah kaum Cina dan India yang menentang komunis. Kita tidak mahu perkara ini dipolemikkan,” katanya.

Menjawab Wan Ahmad Fayhsal, Kor Ming menerangkan maksud sebenar bak kut teh, yang mana bak merujuk kepada pelbagai jenis daging dalam bahasa Hokkien dan tiada salahnya dijadikan makanan warisan di negara berbilang kaum seperti Malaysia.

“Kita bukan ajak YB makan. Jika YB datang, saya akan hidangkan chik kut teh yang diperbuat daripada ayam kerana ia halal,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button