Bot nelayan Indonesia karam, dua diselamatkan
LUMUT – Dua nelayan rakyat Indonesia berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Perak dalam insiden bot karam pada kedudukan 53 batu nautika dari barat laut Pulau Perak, Jumaat lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Perak dari ejen bot tunda, Bomber 1601.
Dua kru bot nelayan asing itu adalah M. Jabar, 38 dan Musliadi M. Aji, 44 yang berasal dari Kabupaten Acheh Timur, Indonesia.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan sihat dan selamat serta telah diserahkan kepada Maritim Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohamad Shukri mengingatkan kepada nelayan supaya memastikan semua peralatan keselamatan dalam keadaan baik ketika melakukan aktiviti perikanan sebagai langkah keselamatan dari insiden kecemasan di laut sementara menanti pasukan penyelamat tiba.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.