Azizulhasni beri cadangan bina velodrom asas galakkan lumba basikal – Hannah
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti cadangan untuk membina kemudahan velodrom asas bagi menggalakkan minat lumba basikal dalam kalangan golongan muda.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, cadangan itu diutarakan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika pertemuan mereka di Melbourne, baru-baru ini.
“Dalam pertemuan itu, (Datuk) Azizulhasni ada mencadangkan idea berkenaan.
“Dia turut berkongsi beberapa gambar contoh venue yang dimaksudkan,” kata Hannah, hari ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, pembinaan velodrom tersebut dijangka tidak menelan belanja yang besar kerana kemudahan termasuk trek adalah bersifat asas.
Tanpa memberitahu lokasi dicadangkan, Hannah memberitahu, satu perbincangan awal telah diadakan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai cadangan tersebut.
“Buat masa ini, belum ada apa-apa yang dimuktamadkan. Namun, cadangan ini akan terus diperhalusi,” tambah Hannah lagi.