Berita Semasa

353 warga emas di DUN Pertang terima Bantuan Aspirasi

SEREMBAN – Seramai 353 warga emas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang hari ini menerima Bantuan Aspirasi.

Bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Semasa pilihan raya dahulu, antara janji yang kita sebutkan adalah mengenai bantuan kepada warga emas dalam Negeri Sembilan.

“Atas prinsip “manusia berpegang kepada janji”, maka pagi Jumaat ini saya sampaikan Bantuan Aspirasi kepada 353 warga emas dalam DUN Pertang.

“Sebagai wakil rakyat, saya akan berusaha untuk menunaikan segala janji yang diberikan semasa pilihan raya lalu. Saya akan usaha bantu keluh kesah rakyat berkaitan pendidikan anak-anak, kebajikan ibu ayah kita, infrastruktur kemudahan awam, keupayaan pembangunan belia, pemerkasaan wanita dan banyak lagi,” katanya.

Datuk Seri Jalaluddin Alias

Jalaluddin yang juga Exco Kanan Negeri Sembilan berkata, pemberian itu diharapkan dapat meningkatkan kebersamaan antara rakyat dan pihaknya.

“Apa pula yang saya harapkan dari rakyat? Saya hanya mahukan rakyat di seluruh Negeri Sembilan agar terus pertautkan kebersamaan dan ‘esprit de corps’ antara kita.

“Jangan dengar desas desus negatif daripada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Apabila kita kuat dan saling tolong menolong, pasti ramai yang panas hati dan mahu porak perandakan apa yang kita bina.

“Kita jaga rumah kita. Kita jaga famili kita elok-elok. Jangan biar apa yang dibina selama ini dirosakkan pihak tertentu,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button